Mekanisme baharu visa lawatan peribadi

JEDDAH 1 Dis. – Kementerian Luar mengumumkan mekanisme baharu untuk warga Arab Saudi mendapatkan visa lawatan peribadi bagi membawa masuk rakan dan kenalan mereka yang tinggal di luar negara ke Arab Saudi.

Langkah itu bakal memudahkan pelawat asing untuk memasuki negara itu bagi menziarahi kenalan mereka. 

Warga Arab Saudi yang ingin mempelawa kenalan untuk melawat perlu mengemukakan permohonan visa lawatan peribadi bagi pihak mereka di platform visa elektronik “National Unified Visa Platform” atau Platform Visa Bersepadu Nasional di bawah seliaan Kementerian Luar.

“Permohonan visa lawatan peribadi boleh dikemukakan melalui platform eVisa dan perlu mengisi data individu yang diundang. Permohonan itu kemudiannya akan diproses dan ‘dokumen visa lawatan peribadi’ akan dikeluarkan, data boleh dilihat melalui perkhidmatan pertanyaan permohonan,” menurut kementerian.

Visa itu juga membenarkan pelawat untuk melakukan ibadah umrah dan ziarah di Makkah , melawat Madinah, tempat keagamaan dan bersejarah serta menghadiri acara kebudayaan.

“Permohonan visa ini boleh dibuat secara elektronik di platform visa dan prosesnya sangat mudah dan senang,” menurut kementerian itu.

Perkara itu selari dengan usaha Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah kunjungan warga asing ke negaranya, selaras dengan objektif Wawasan 2030.

Kementerian itu menambah pelawat boleh menyelesaikan proses pembayaran yuran dan insurans perubatan selepas mengisi borang permohonan visa masuk di platform visa.

Pelawat kemudiannya perlu menyerahkan permohonan dan pasport kepada kedutaan atau konsulat Arab Saudi di negara asal atau melalui pusat, pejabat yang diiktiraf kedutaan atau konsulat.

Related posts

Leave a Comment