562 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 25 April – Sebanyak 562 kes baharu Covid-19 direkodkan dengan paling tinggi membabitkan penularan tempatan, iaitu 560 kes dan hanya dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Menurut data yang dikongsikan dalam laman sesawang KKMNOW, jumlah yang dinyatakan itu setakat Sabtu lalu.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 14,161 kes dan daripada jumlah itu seramai 13,693 kes atau 96.7 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu, terdapat 452 kes lagi sudah mendapatkan rawatan di hospital dengan 16 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Kadar penggunaan wad ICU di seluruh negara pula mencecah 65.9 peratus, iaitu 12 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala empat lagi tidak memerlukan alat bantuan.

Kadar kemasukan pesakit Covid-19 di negara ini juga dalam keadaan terkawal apabila terdapat 50.9 peratus menggunakan katil di hospital dengan purata kemasukan ke dalam wad dalam tempoh tujuh hari adalah 224 kes.

Mengenai ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan dalam tempoh tujuh hari sehingga 22 April lalu, sebanyak 3,355 ujian sudah dilakukan dengan kadar positif meningkat kepada 17.8 peratus.

Jumlah saringan itu membabitkan sebanyak 3,061 diuji dengan Kit Ujian Pantas (RTK), manakala 294 pula menggunakan RT-PCR.

Berbanding minggu sebelumnya iaitu sehingga 8 April lalu, jumlah ujian saringan yang dilakukan sebanyak 11,269 dengan kadar positif hanya dua peratus.

Ujian itu membabitkan 10,101 menggunakan RTK serta 1,168 pula PCR.

Related posts

Leave a Comment