Varian baharu itu tidak seganas Delta

PENULARAN varian baharu di India iaitu XBB.1.16 atau dikenali sebagai Arcturus mencetuskan kebimbangan serta menjadi punca peningkatan kes di beberapa buah negara.

Menurut pakar, subvarian di bawah keluarga Omicron itu campuran varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 dan 1.2 kali ganda lebih menular berbanding varian asalnya, iaitu Omicron.

Bagaimanapun, pakar mendapati penularan varian baharu itu tidak seganas Delta yang mencetuskan gelombang kes Covid-19 di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai Arcturus, Ketua Teknikal COVID-19 di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Maria Van Kerkhove, berkata walaupun ia merebak dengan mudah, tiada bukti yang menunjukkan varian Arcturus menyebabkan gejala yang lebih teruk.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan India melaporkan pada 12 April lalu terdapat 40,215 kes Covid-19 namun dalam masa satu hari ia meningkat sebanyak 3,122 kes.

Ini mendorong kementerian itu melaksanakan kembali pemakaian pelitup muka di beberapa negeri serta mempertingkat pengeluaran vaksin.

Pakar Pediatrik yang juga bekas Ketua Jawatankuasa Imunisasi Akademi Pediatrik India, Dr Vipin Vashishtha, memaklumkan gejala Arcturus termasuk demam panas, batuk dan konjunktivitis, iaitu gatal mata atau menjadikan mata merah jambu.

Sementara itu, penularan Acturus di Malaysia dilaporkan pada April iaitu enam kes pertama di Sarawak.

Bagaimanapun semalam, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mendedahkan terdapat enam lagi kes baharu berkait dengan varian Arcturus iaitu empat di Selangor serta dua lagi di Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment