JEDDAH: Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengerjakan ibadah umrah sejurus tiba di sini sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi bermula hari ini.
Terdahulu pesawat khas membawa beliau dan delegasi mendarat di Royal Pavilion, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada pukul 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan Anwar disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud, dengan upacara sambutan rasmi membabitkan kawad statik.
Ini merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke negara Asia Barat dan lawatan rasmi negara luar ASEAN yang pertama selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November tahun lalu.
Perdana Menteri diiringi isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Lawatan itu akan memberi peluang untuk kedua-dua negara membincangkan isu dan kerjasama sedia ada.
Melalui lawatan berkenaan, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Arab Saudi juga berpeluang meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.
“Semoga lawatan ini akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, insya-Allah,” katanya dalam hantaran melalui Facebook hari ini.
Anwar bersama delegasi dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha, serta Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa, hari ini.
Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam.
Sementara itu Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Wan Zaidi Wan Abdullah, berkata beberapa memorandum persefahaman dijangka ditandatangani melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan kedua-dua negara dan pihak swasta, selain Anwar akan turut mengambil peluang beramah mesra dengan rakyat Malaysia di Jeddah.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi, yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama.
“Hubungan simbiotik ini telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Wan Zaidi berkata pada 2022, Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah eksport ke Arab Saudi meningkat sebanyak 43.8 peratus untuk tempoh sama berjumlah RM7.28 bilion (AS$1.66 bilion), manakala jumlah import daripada Arab Saudi mencatatkan peningkatan sebanyak 205.8 peratus berjumlah RM38.24 bilion (AS$8.60 bilion).
