KUALA LUMPUR 21 Mac – Presiden Singapura, Halimah Yacob, diberi sambutan negara di Istana Negara, hari ini, sempena lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.
Ketibaan beliau bersama suami, Mohamed Abdullah Alhabshee, pada pukul 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; serta menteri-menteri Kabinet.
Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam 21 das.
Presiden Singapura itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, di sini, dengan diketuai Mejar Mohd Fadjrin Masor@Mansor.
Halimah bersama Al-Sultan Abdullah kemudian menanam pokok gelam (melaleuca cajuputi) di halaman istana.
Presiden Singapura itu juga diraikan dan diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.
Kunjungan sulung itu sebagai lawatan balas selepas menerima undangan Yang di-Pertuan Agong yang mengunjungi Singapura pada Oktober lalu.
