KDN atur program atasi kesesakan penjara

KAJANG: Seramai 79,131 penghuni ditempatkan di 93 institusi di bawah pengurusan Jabatan Penjara di seluruh negara, melebihi 11.2 peratus atau 7,312 penghuni daripada jumlah kapasiti keseluruhan institusi berkenaan iaitu 65,762 penghuni.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi menangani isu kesesakan dalam penjara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempergiatkan beberapa program dan sistem dikendalikan Jabatan Penjara.

Ini termasuk Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pelepasan Banduan Secara Lesen, Program Reintegrasi Penghuni dan Program Pemulihan Pemasyarakatan.

“Banduan terbabit akan menjalani latihan pekerjaan dalam sektor perkilangan, perladangan dan perkhidmatan di luar penjara dengan menikmati insentif gaji setaraf pekerja lain.

Inisiatif ini sekali gus mengurangkan kos pengurusan dan membolehkan banduan terus bekerja sebaik saja mereka dibebaskan,” katanya  selepas merasmikan Hari Penjara ke-233 yang bertemakan Reformasi ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di Maktab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Rubi Ubi dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Saifuddin berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan memindahkan banduan dari penjara sesak ke penjara kurang sesak bagi mengatasi masalah itu.

“Jika ada peruntukan, kita boleh bina penjara baharu, selain mengambil pendekatan menaik taraf penjara lama seperti Penjara Taiping, Penjara Alor Setar dan Penjara Pangkalan Chepa bagi meningkatkan kapasiti jumlah penghuni,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, terdapat Penjara Satelit dan Pusat Transit Penerimaan yang menyediakan 12,416 kapasiti baharu termasuk penggunaan tapak bekas Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni.

“Kita juga mewujudkan Pusat Koreksional Komuniti menggunakan asrama disediakan majikan bagi penempatan Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Orang Diselia (ODS),” katanya.

Related posts

Leave a Comment