KUALA LUMPUR 21 Mac – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dukacita iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang-orang Melayu tidak disambut oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata, ini berikutan keputusan PN yang menolak permohonan Pejuang untuk bersama-sama berada di dalam gabungan PN.
“Pejuang dimaklumkan bahawa semalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah bermesyuarat untuk antara lainnya membincangkan permohonan Pejuang menyertai gabungan Perikatan Nasional.
Pejuang dimaklumkan bahawa permohonan ini ditolak. Adalah amat mendukacitakan bahawa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut oleh pimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, Amiruddin berkata, Pejuang akan sentiasa kekal dalam arena politik negara untuk mempertahan Rule of Law dan membawa amanat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
“Dengan itu, Pejuang akan terus menggerakkan jentera di kawasan-kawasan tertentu untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.
Terdahulu Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dalam kenyataannya berkata, keputusan menolak permohonan Pejuang dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
