KUALA LUMPUR 21 Mac – Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu, Pas dan Gerakan menolak permohonan parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk menyertai gabungan yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin itu.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dipengerusikan Muhyiddin semalam.
Turut hadir Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Presiden Geraka Dr. Dominic Lau, dan semua wakil parti anggota.
Pada awal bulan ini, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menghantar surat permohonan menyertai PN kepada Muhyiddin selepas meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Hamzah juga memaklumkan MT PN membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan dan lambang Pas di Kelantan serta Terengganu.
“Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” katanya.
Pada masa yang sama MT PN melantik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah dan Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan.
“Turut diputuskan ialah pelantikan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir bin Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif Perikatan Nasional,” katanya.
