PH akui kelemahan semasa PRN Johor

KUALA LUMPUR 16 Mac – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengakui ada beberapa kelemahan yang menyebabkan PH hanya memenangi 12 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu.

Justeru beberapa tindakan akan diambil bagi bagi mengatasi kelemahan dan menggilap semula idealisme perjuangan PH dan penyokongnya ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, majlis itu yang menerima keputusan rakyat Johor berkata, kelemahan yang dikesan tidak boleh diatasi oleh satu parti atau satu ikhtiar sahaja, sebaliknya perlu diurus bersama secara menyeluruh.

“Majlis Presiden PH menerima keputusan rakyat dalam PRN Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu semasa yang menyebabkan PH memenangi 12 kerusi.

“Beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan PH bagi menggilap semula idealisme perjuangan PH dan penyokongnya.

Kita juga perlu membincangkan persiapan keseluruhan menghadapi PRU-15,” kata kenyataan bersama itu.

Ia dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Madius Tangau.

Kenyataan itu menyebut, PH akan berusaha membina seluruh kekuatan bagi menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama dalam kalangan parti pembangkang.

“Kami bertekad menetapkan dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik Covid-19 termasuk isu prosedur operasi standard (SOP) dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai, serta himpitan hidup rakyat.

“Negara mesti diselamatkan daripada gejala rasuah dan urus tadbir yang pincang,” katanya.

Majlis Presiden PH turut menegaskan, Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen kali ini seperti dijanjikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, pimpinan tertinggi PH juga akan menemui Ismail Sabri dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment