SEGAMAT 6 Mac – Kerajaan tidak akan mengisytiharkan darurat susulan situasi bencana banjir buruk yang dihadapi Johor ketika ini, berikutan keadaannya masih terkawal, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, berkata pengisytiharan darurat kerana banjir tidak perlu dilakukan berikutan hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat (banjir) sudah sedikit surut, walau beberapa tempat mengalami banjir termenung. Ini mengambil masa sedikit untuk surut.
Namun tidak perlu darurat setakat ini kerana keadaan cuaca semakin baik dan banjir agak berkurangan. Itu yang dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) Kampung Tengah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar diiringi Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.
Jumaat lalu, Kabinet dilaporkan tidak membincangkan sebarang keperluan untuk melaksanakan darurat di Johor yang terjejas teruk akibat banjir.
Jurucakap Kerajan Perpaduan, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, ketika ini Jemaah Menteri berpandangan bantuan segera dapat diberikan kepada mangsa.
Anwar pada hari sama mengumumkan bantuan khas sejumlah RM50 juta kepada Johor susulan banjir terburuk pernah dihadapi negeri ini.
Sehari sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan RM10 juta bantuan mangsa banjir di Johor disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mangsa membeli barang keperluan dan bantuan tambahan kepada penduduk terjejas bencana itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata semua peruntukan khas dari kerajaan Persekutuan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir berikutan banyak barangan serta kediaman rosak akibat bencana itu.
Dalam pada itu Kerajaan Selangor dan dari Wilayah Persekutuan akan menghantar lori pengangkut sampah ke Johor segera bagi tujuan pembersihan.
Menurut Perdana Menteri, kumpulan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga akan diselaraskan bagi membantu penduduk membersihkan rumah selepas banjir surut.
Perdana Menteri turut memaklumkan telah menghubungi beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama untuk membantu mangsa banjir di Johor.
“Saya hubungi semua GLC penting kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk selesaikan masalah elektrik dengan kadar segera. Selain itu, Yayasan Sime Darby akan sediakan kit kesihatan kepada 1,500 keluarga selain dana tambahan RM20 juta untuk mangsa di negeri ini,” katanya.
