NIBONG TEBAL 6 Julai- Hari ini adalah hari penentuan sama ada Perikatan Nasional (PN) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap atau sebaliknya Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan UMNO akan merampas semula kerusi itu.
Seramai 39,151 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada PRK itu hari ini susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Dalam pertandingan satu lawan satu, PN diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, manakala bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon kem Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN)
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal berjaya merampas kerusi itu apabila menewaskan calon PH dari PKR Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Menariknya pada PRK kali ini, pertarungan sengit yang membabitkan pertembungan antara calon PH dengan PN berlaku di kawasan majoriti pengundi Melayu tinggi iaitu 59.36 peratus.
PH pernah menguasai kerusi ini selama tiga penggal dari 2008, sebelum terlepas ke tangan Pas pada PRN lepas. Sebelum itu Barisan Nasional (BN) melalui UMNO juga pernah mewakili kawasan ini.
Masing-masing yakin untuk menang dan menganggap PRK DUN Sungai Bakap akan menjadi peristiwa penting kepada PN dan UMNO-PH untuk mencipta naratif baharu politik orang Melayu.
PN dalam menghadapi PRK ini tidak berada dalam keadaan selesa dengan kemenangan majoriti 1,563 undi pada PRN lalu lebih-lebih lagi kawasan itu dikuasai PH-BN iaitu Parlimen Nibong Tebal dan dua kerusi DUN Sungai Kechil serta Jawi.
Sekiranya calon PH menang pada PRK kali ini, UMNO yang bersungguh-sungguh berkempen mungkin menjaja kemenangan itu ke seluruh negara bahawa ‘gelombang hijau’ sudah tamat dan orang Melayu mula kembali menyokong parti berkenaan yang kini berada bersama Kerajaan Perpaduan.
Jika menang, UMNO akan mendakwa parti itu berjaya mengalih sokongan orang Melayu yang selana ini sukar menerima kerjasama UMNO-DAP sebaliknya jika PN gagal mempertahankan kerusi itu maka berakhirlah ‘gelombang hijau’ yang dicanang melanda Pulau Pinang.
Untuk rekod ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan yang pertama di Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) disusuli DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor), DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak), Parlimen Kemaman (Terengganu) dan DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor).
Dan setakat ini, semua parti penyandang kerusi berkenaan Pas, Amanah, UMNO , DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada PRK itu, yang terakhir di DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Secara keseluruhan 39,279 pengundi layak mengundi termasuk 57 anggota polis. Bagaimanapun tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.
Pusat pengundian yang dibuka adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.
Proses penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.
Bagi dua calon bertanding itu, hanya Abidin dari PN akan mengundi hari ini di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, manakala Joohari adalah pengundi di DUN Sungai Acheh, satu daripada DUN dalam Parlimen Nibong Tebal selain Jawi.
Nnn
