UMNO sedia dedah surat RoS isu jawatan Presiden, Timbalan

ALOR SETAR 5 Mac – UMNO sedia mendedahkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menerima usul ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan meminta Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan menerbitkan salinan surat berkenaan bagi memberhentikan segala isu yang timbul berkaitannya.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO,  Ismail Sabri Yaakob sebelum ini supaya mendedahkan surat tersebut.

“Semalam di Pulau Pinang saya sudah nyatak (bahawa RoS menerima usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO).

“Saya akan minta Setiausaha Agung UMNO, menerbitkan salinan diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan surat dikeluarkan RoS adalah kepada pihak peguam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri dilaporkan meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat RoS itu, berikutan ada laporan media yang menyatakan RoS tolak tetapi kemudiannya ada yang kata  dah luluskan menyebabkan timbul kekeliruan.

Ahamd Zahid sebelum itu menghadiri Majlis Pengenalan Calon-Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk EXCO Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Bangunan Tunku, di sini petang ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO,  Mohamad Hasan serta dua Naib Presiden UMNO,  Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendedahan surat itu bakal mengukuhkan peranan PAU sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan bagi UMNO.

“(Surat) itu adalah satu tanda noktah bahawa PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO, kita sudah ikut peraturan dan Perlembagaan juga dipatuhi sepenuhnya dalam memberi kelulusan usul kelapan dalam pembentangan yang dibuat.

“Ini akan menjadi tanda penamat (kepada konflik yang berlaku), kita akan tutup buku isu mengenainya selepas ini,” katanya.

Di Pulau Pinang malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada KDN berhubung isu berkaitan iaitu dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Sebelum pengumuman itu, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan itu tidak sah.

Portal berita itu bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri dilaporkan menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Related posts

Leave a Comment