
SEGAMAT 5 Mac – Semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diarahkan supaya diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini bagi mengelakkan bencana banjir berulang semula sekali gus menjejaskan rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, isu banjir memerlukan tindakan yang serius kerana jika tidak, ia akan berulang.
“Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun dan di sini sudah dua kali banjir besar.
Oleh itu kita putuskan projek mahal RM600 juta atau lebih untuk RTB akan disegerakan. Itu kita lulus dan akan segerakan,” katanya.
Beliau berkata, penangguhan sementara RTB sebelum ini adalah kerana kerajaan tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ada ketirisan dan kecurian.
“Kita perlu proses tender walau disegerakan. Semua projek RTB yang diluluskan harus semuanya beroperasi mulai Jun ini. Jadi tak boleh dilengahkan lagi,” katanya pada sidang media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Tengah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar diiringi Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.
Pada 5 Disember lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.
Katanya, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini dan sudah meminta pegawai kementerian itu meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.
Anwar turut memberi amaran supaya mana-mana pihak jangan mencari peluang mendapatkan habuan tambahan membabitkan apa jua peruntukan kerajaan terutama untuk banjir.
“Kita dah minta ia disegerakan, maksudnya Jun harus ‘take off’ projek RTB. Kita tangguhkan dulu kerana ada masalah.
“Kita mahu beri amaran keras jangan guna peruntukan semasa banjir atau darurat atau apa jua masalah dihadapi rakyat, jangan guna itu bagi mencari peluang untuk habuan tambahan,” katanya.
