Ong Kian Ming tinggalkan DAP

SEPANG 31 Ogos – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming meletak jawatan sebagai ahli parti DAP, bermula hari ini dan tidak merancang menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat atau menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kian Ming bagaimanapun akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast ‘Are We OK’ melalui pelbagai jawatan penasihat dan bersama dengan orang yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.

Beliau juga kekal komited untuk menunaikan janji yang dibuat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin jika bekas Menteri Kesihatan itu diberi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu  berkata, beliau telah memaklumkan hasrat itu kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan Khoo Poay Tiong,

“Saudara Anthony Loke Siew Fook (cc Saudara Khoo Poay Tiong), saya menulis untuk memaklumkan, saya meletak jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini, 31 Ogos 2026. Nombor keahlian saya ialah S04-1916-0142612,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang menyertai DAP pada 2012 bersyukur kerana diberi peluang menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sebagai Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018) dan Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022).

Begitu juga dengan jawatan Timbalan Menteri MITI (2018 hingga 2020), ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang dilantik (2019 hingga 2022) dan ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor yang dipilih (2018 hingga 2024).

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tony Pua kerana menjemput dirinya menyertai  DAP serta memberi panduan mengenai cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.

“Saya juga berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan untuk kerusi Parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP.

“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment