Malaysia-Filipina tingkat hubungan dua hala

MANILA 1 Mac – Malaysia dan Filipina bersetuju untuk terus meneroka kerjasama dalam pelbagai sektor dalam usaha mempertingkat hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerjasama dua hala Malaysia dan Filipina adalah dalam pelbagai sektor yang antara lain merangkumi perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan serta pertanian.

Menurut Perdana Menteri, kedua-dua negara turut membincangkan bidang-bidang untuk kerjasama lanjut.

“Sektor baharu dan penting seperti industri halal, keterjaminan makanan dan ekonomi digital adalah antara bidang utama yang saya sarankan sebagai potensi kerjasama,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar bersama dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Istana Malacanang hari ini.

Sebelum itu, pesawat khas yang membawa Anwar serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Pangkalan Udara Villamor di sini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Filipina.

Anwar berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8 yang akan diterajui Menteri Luar masing-masing tahun ini pada tarikh yang sesuai.

Perdana Menteri juga bercakap mengenai langkah mempererat silaturahim rakyat kedua-dua negara selain meneruskan pertukaran budaya dan pelancongan.

“Saya mengiktiraf peranan diaspora Filipina di Malaysia serta sumbangan mereka kepada ekonomi kedua-dua negara dan sebagai anggota pengasas ASEAN dan kawasan pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina, hala tuju serantau Filipina dan Malaysia adalah berpaksikan ASEAN,” katanya.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Anwar berkata beliau telah membincangkannya dengan Marcos dan berkongsi pandangan sama mengenai perkara itu.

“Kita harus mencuba dan melibatkan diri serta menyatakan pendirian di peringkat pelbagai hala antara ASEAN supaya kita mempunyai pendekatan yang komprehensif dan mencapai penyelesaian memuaskan bagi masalah yang sudah lama tertangguh ini,” katanya.

Perdana Menteri turut meluahkan kebimbangan mengenai isu perbalahan di Myanmar yang masih tidak selesai sehingga turut menjejaskan Malaysia susulan jumlah pelarian yang telah melebihi 200,000 orang.

Marcos menurut Anwar mengulangi keperluan konsensus lima perkara tetapi Makaysia  menyarankan untuk meneroka kaedah baharu bagi memujuk junta Myanmar agar berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam ASEAN.

Katanya penyelesaian perbalahan di Myanmar tidak boleh dianggap sebagai isu dalaman semata-mata kerana ia menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rantau ini.

Related posts

Leave a Comment