Hanya satu syarikat import telur – Mohamad

KUALA LUMPUR 1 Mac –  Hanya sebuah syarikat diberi kebenaran mengimport telur dari India ketika ini, dalam usaha kerajaan menampung bekalan di dalam negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, syarikat terbabit sebelum ini berpengalaman membawa masuk telur dari India ke Qatar bagi memenuhi keperluan penganjuran Piala Dunia FIFA 2022.

Mohamad menjelaskan kekurangan bekalan telur dalam pasaran tempatan berlaku apabila terdapat penyusutan pengeluaran mulai Oktober hingga Disember 2022, yang mana pengeluarannya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.

“Sebagai langkah intervensi jangka pendek bagi memastikan kecukupan bekalan telur di dalam negara, kementerian membenarkan pengimportan telur dari India, jenis ‘Fresh White Shell Egg’, dengan berat antara 50 hingga 55 gram yang boleh digredkan sebagai Gred D di Malaysia atau medium di India,” katanya.

Beliau menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah eksport telur ayam dan mengapa kerajaan mengimport telur dari India serta syarikat mana yang mendapat permit import (AP) untuk mengimport telur.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dengan keupayaan syarikat itu yang mampu menghantar bekalan telur dalam masa singkat, kementerian bersetuju memberi kelulusan import khas untuk tempoh enam bulan mulai Disember 2022.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kawalan biosekuriti ketat dikenakan yang mana setiap konsainan perlu menjalani ujian ‘Hold Test Release’ (HTR) di pintu masuk bagi memastikan telur diimport itu adalah bebas daripada patogen Selesema Burung (HPAI), Newcastle Disease (ND) dan Salmonella.

Mohamad juga menjelaskan dasar membenarkan pengimportan telur ini adalah bersifat sementara bagi memenuhi kekurangan bekalan telur di dalam negara.

“Pembangunan industri telur tempatan merupakan fokus utama kementerian bagi memastikan industri itu terus berdaya tahan dan mampan dalam membekalkan telur kepada penduduk serta meningkatkan pendapatan negara menerusi pengeksportan telur ke luar negara,” katanya.

Menurut Mohamad, berdasarkan rekod pengeluaran telur di dalam negara, sebanyak 13.4 bilion biji dikeluarkan pada 2018 dan 10.9 bilion pada 2019 manakala pada 2020

jumlah pengeluaran meningkat kepada 12.9 bilion biji, diikuti 13.6 bilion biji pada 2021.

Bagaimanapun pada tahun 2022, berlaku sedikit penyusutan pengeluaran kepada 13.3 bilion biji dan sehingga Februari tahun ini, sebanyak 2.4 bilion biji telur dikeluarkan.

Beliau berkata, secara purata, Malaysia memerlukan sebanyak 11.6 bilion biji telur setahun untuk keperluan domestik dengan kadar penggunaan purata sebanyak 968 juta biji sebulan.

“Oleh itu, rekod pengeluaran ini jelas menunjukkan pengeluaran telur adalah mencukupi untuk keperluan domestik setiap tahun dan terdapat lebihan yang membolehkan Malaysia mengeksport telur ke luar negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment