95 rebut jawatan 25 Ahli MKT UMNO

KUALA LUMPUR 1 Mac – Seramai 118 pencalonan diterima bagi merebut jawatan tertinggi UMNO, khususnya Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan.

Bagaimanapun selepas semakan dari segi kelayakan mereka yang layak bertanding di peringkat MKT adalah seramai 115 orang.

Tiga jawatan Naib Presiden yang menjadi tumpuan pemilihan kali ini melibatkan penyertaan lapan calon yang menawarkan diri, lima untuk Ketua Pergerakan Pemuda, dua calon bagi Ketua Wanita dan enam bagi jawatan Ketua Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023,  Shahrir Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu, lapan pemimpin menawarkan diri merebut tiga jawatan Naib Presiden sementara 95 bagi 25 jawatan Ahli MKT.

Katanya, tiga pencalonan bagi Ahli MKT ditolak selepas didapati tidak memenuhi syarat untuk bertanding iaitu seorang anggota MKT atau pernah memegang jawatan sekurang-kurangnya satu penggal atau tiga tahun di peringkat bahagian.

Beliau berkata demikian pada  program Wawancara Khas Bersama JPU yang disiar menerusi Facebook UMNO Online, semalam.

Secara keseluruhannya, beliau berkata seramai 383 calon bertanding merebut jawatan di peringkat pusat termasuk dua pencalonan bagi Pengerusi Tetap UMNO, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO (10 calon) serta tiga sayap UMNO.

Katanya, bagi Wanita UMNO, seramai 70 pencalonan diterima iaitu membabitkan dua pencalonan masing-masing bagi saingan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Ketua Wanita UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO.

Bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, empat calon menawarkan diri, sementara bagi EXCO Wanita pula, 60 pencalonan diterima untuk mengisi 20 jawatan yang ditawarkan.

Sementara bagi Pemuda UMNO, keseluruhannya 142 pencalonan diterima iaitu tujuh bagi jawatan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, 13  Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, lima pencalonan Ketua Pemuda UMNO dan empat Naib Ketua Pemuda UMNO serta 113 EXCO pemuda.

Sayap Puteri UMNO pula,  seramai 56 calon menawarkan diri iaitu masing-masing dua pencalonan bagi jawatan Pengerusi Tetap Puteri UMNO serta timbalannya, enam pencalonan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, tiga bagi Naib Ketua Puteri UMNO serta 43 pencalonan bagi EXCO Puteri.

Shahrir berkata, semua calon yang sudah diterima pencalonannya oleh JPU juga masih boleh mengambil keputusan untuk menarik diri iaitu sebelum pukul 2 petang esok.

Majlis mencabut nombor undi calon yang bertanding bagi semua peringkat diadakan petang esok bermula dengan Puteri, Pemuda, Wanita, Ahli MKT serta Naib Presiden, berlangsung di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn di sini.

Related posts

Leave a Comment