Agong kunjungi Presiden UAE

KUALA LUMPUR 1 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengunjungi Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan di Qasr Al Bahr, Abu Dhabi semalam.

Baginda diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Menurut Facebook Istana Negara, turut hadir, wakil pemerintah di Wilayah Dhafra, Sheikh Hamdan bin Zayed Al Nahyan; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Dalam pertemuan pada jam 5.30 petang waktu tempatan itu (jam 9.30 malam waktu Malaysia), kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai langkah dan usaha bagi memperkasakan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai aspek.

“Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas kesudian menerima sumbangan sebanyak 42 tan barangan bantuan kemanusiaan daripada Kerajaan Malaysia untuk disalurkan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini,” kata kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mempersilakan Sheikh Mohamad untuk melakukan lawatan ke Malaysia.

Pertemuan itu disusuli dengan majlis santapan malam di Qasr Al Shatie, Abu Dhabi.

Al-Sultan Abdullah kini berada di UAE bagi lawatan khas selama tujuh hari hingga hari ini.

Related posts

Leave a Comment