241 kes baharu Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA 18 Feb. – Kes jangkitan harian Covid-19 semalam merekodkan 241 termasuk satu kes import berbanding 281 kes yang dilaporkan kelmarin.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,040,609 kes iaitu 5,001,957 kes tempatan dan 38,652 kes import.

Menurut data portal KKMNow, seperti kelmarin, tiada kematian baharu dilaporkan semalam dan jumlah kematian kekal 36,954 orang termasuk 7,872 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 9,405 bertambah enam kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,080 kes atau 96.5 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 316 pesakit atau 3.4 peratus mendapat rawatan di hospital, sembilan daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana tiga orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 235 lagi pesakit baharu dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,994,250 orang.

Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 85  kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 63 .

Related posts

Leave a Comment