Lawatan buka peluang kerjasama erat

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap lawatan bersejarah Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier akan membuka peluang baharu untuk kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.

“Lawatan anda (Steinmeier) ke Malaysia menandakan hubungan yang lebih mendalam antara negara kita. Beta yakin persahabatan yang amat kami hargai ini, akan terus erat dan berkembang maju,” titah Seri Paduka.

Justeru baginda menzahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia dan Jerman akan berkembang dengan progresif pada tahun-tahun yang akan datang.

Baginda bertitah demikian pada santapan negara di Istana Negara malam tadi bagi meraikan Steinmeier dan isterinya Elke Budenbender yang dalam rangka lawatan negara ke Malaysia,

Al-Sultan Abdullah bertitah sehingga hari ini, hubungan Malaysia dan Jerman semakin rapat berbanding sebelum ini, berikutan hubungan mesra dan kerjasama.

Titah Seri Paduka, Malaysia dan Jerman telah bersama-sama dalam pelbagai projek yang membolehkan kedua-dua negara berkembang dan maju.

“Ini termasuklah projek dalam industri permotoran, bioteknologi, farmasi, tenaga diperbaharui, teknologi maklumat, pendidikan dan pelbagai bidang lain, yang sedang dilaksanakan.

Sememangnya Malaysia dan Jerman telah menikmati hubungan yang saling menguntungkan selama 66 tahun, sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1957,” titah Seri Paduka.

Turut hadir pada majlis santapan yang dihoskan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu ialah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Menteri Luar Dr Zambry Abd Kadir.

Related posts

Leave a Comment