PUTRAJAYA 7 Feb. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan pelantikan lima individu yang akan menganggotai badan penasihat khas bagi membantu menasihati beliau selaku Menteri Kewangan.
Badan penasihat khas ini terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi dan akan diketuai oleh Penasihat Petronas, Hassan Marican.
Empat yang lain adalah Pengerusi Eksekutif FVSB, Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr Yeah Kim Leng; Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Profesor Ulung Rajah Rasiah; dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Abdul Hamed Sepawi.
“Saya mengulangi pendirian bahawa badan penasihat khas yang dilantik ini tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
