3 jawatankuasa Sekretariat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 7 Feb. –  Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini  bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi.

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, ia merangkumi Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.

Katanya , Jawatankuasa Strategi adalah untuk berdepan komunikasi dan kenyataan fitnah melampau terhadap Kerajaan Perpaduan.

Sebagai contoh, beliau berkata, isu pembakaran al-Quran di luar negara baru-baru ini menyaksikan ada beberapa tokoh agama mendakwa Kerajaan Perpaduan seolah-olah tidak mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.

Katanya, ketika itu, kerajaan sudah mengeluarkan kenyataan keras dan mengecam insiden itu, malah Kementerian Luar turut memanggil duta Sweden.

“Saya juga mengarahkan pencetakan sejuta naskhah al-Quran untuk diedar ke seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan, malam ini.

Anwar berkata, Jawatankuasan Pilihan Raya pula menumpukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bila-bila masa.

Jawatankuasa ini akan mencadangkan hal-hal berkaitan PRN termasuk pembahagian kerusi.

“Suatu hal disepakati sangat positif bagi saya, kesepakatan dan komitmen semua parti termasuk Sabah dan Sarawak membantu sebagai satu pasukan,” katanya.

Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik pula, akan menumpukan mengenai manifesto kerajaan meliputi pelbagai isu termasuk kos sara hidup rakyat.

Manakala Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik mengambil kira pandangan manifesto, melibatkan kos sara hidup dan kerjasama antara semua kaum dan negeri.

Menurut Anwar, ketiga-tiga jawatankuasa itu akan dipengerusikannya dan ketua-ketua parti sebagai timbalan pengerusi.

“Kita telah bersetuju Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan menbentuk struktur pimpinan yang akan bersidang setiap bulan dan satu jawatankuasa dilantik akan bersidang beberapa minggu ini.

Sekretariat Kerajaan Perpaduan pula jelas Anwar akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat.

Mesyuarat dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Yang turut hadir, pimpinan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Related posts

Leave a Comment