Darurat tiga bulan di 10 wilayah bencana

ISTANBUL 7 Feb. –  Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah tenggara yang dilanda gempa bumi besar yang meragut ribuan nyawa semalam.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pengisytiharan itu selaras dengan Artikel 119 Perlembagaan, dan bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dan operasi seterusnya dapat dijalankan dengan cepat.

“Kami telah memutuskan untuk mengisytiharkan darurat bagi memastikan kerja (menyelamat dan pemulihan) dapat dijalankan dengan cepat,” kata Erdogan.

“Kami akan segera menyelesaikan proses presiden dan parlimen yang berkaitan dengan keputusan ini, yang akan meliputi 10 wilayah yang dilanda gempa bumi dan ia akan berlangsung selama tiga bulan.” katanya.

Operasi menyelamat di wilayah terpencil berhampiran Syria terhalang oleh ribut musim sejuk yang buruk menyebabkan beberapa jalan tidak dapat dilalui sekali gus memperlahankan proses penghantaran makanan dan bantuan.

Erdogan berkata satu siri pendekatan kecemasan akan diambil untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan bantuan kewangan ke kawasan terjejas.

Jumlah korban terbaharu menunjukkan 3,549 orang terkorban di Turkiye dan 1,602 lagi di bahagian yang dikuasai kerajaan dan pemberontak di Syria.

Erdogan berkata kerajaannya akan menghantar lebih 50,000 pekerja bantuan ke kawasan itu dan memperuntukkan 100 bilion lira (AS$5.3 bilion) dalam bentuk bantuan kewangan.

Setakat ini, beliau berkata 70 negara menawarkan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat dan Turkiye merancang untuk membuka hotel di hab pelancongan Antalya, di sebelah barat, untuk menempatkan sementara orang yang terjejas akibat gempa bumi.

Related posts

Leave a Comment