Nahas menjelang Tahun Baharu Cina

SEREMBAN 20 Jan. –  Dua mangsa dipercayai pemandu dan kelindannya rentung dalam kebakaran sebuah treler di Kilometer (KM) 259 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan dan kesesakan sejauh lebih enam kilometer, setakat pukul 11.30 pagi.

Rakaman video oleh pengguna jalan raya juga tular dalam laman sosial.

Kedua-dua mangsa dijumpai rentung di dalam treler yang membawa kontena itu selepas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban berjaya memadamkan api yang memusnahkan bahagian kepala kenderaan itu.

Terdahulu, BBP menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.42 pagi sebelum sepasukan petugas dengan kekuatan sembilan anggota serta pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban bergegas ke lokasi.

Sementara itu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi laman Facebook memaklumkam kejadian berkenaan menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan.

“Status terkini setakat jam 9.28 pagi tadi, semua lorong masih terhalang. Kenderaan dilencongkan ke Plaza Tol Port Dickson,” kata laporan itu.

Sementara itu satu lagi kemalangan dilaporkan di KM283.8 (arah utara) yang melibatkan sebuah lori di antara laluan Nilai ke Putra Mahkota.

Related posts

Leave a Comment