Cari penyelesaian penerbangan lewat

SEPANG 20 Jan. – Kementerian Pengangkutan (MoT) telah mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang rendah bagi mencari penyelesaian isu kelewatan penerbangan, kata Menterinya, Anthony Loke.

Beliau sedar mengenai rungutan orang ramai berhubung isu kelewatan penerbangan disebabkan pelbagai faktor seperti teknikal, cuaca dan sebagainya.

“Tetapi saya sudah minta syarikat penerbangan untuk beri fokus kepada operasi sebab kita harapkan ada suatu operasi lebih baik bagi kurangkan masalah kelewatan penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelepasan pesawat penerbangan tambahan istimewa AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), malam tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Loke berharap lebih banyak inisiatif yang sama daripada AirAsia untuk musim perayaan akan datang dan mencadangkan pemain industri lain untuk mengikutinya.

AirAsia sebelum ini mengumumkan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap ke enam destinasi di Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Jan 2023 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menawarkan harga tiket RM199 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri.

Sementara itu AirAsia mencatatkan muatan 100 peratus untuk penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 12.10 pagi hari ini.

Menurut Riad Asmat pihaknya terus mengutamakan para tetamu dan menyediakan tambang berpatutan, terutamanya pada masa istimewa ini supaya mereka boleh pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan ini bersama keluarga.

“Walaupun kami masih menghadapi beberapa cabaran sama seperti syarikat penerbangan lain berikutan pandemik, kami tetap komited untuk mengutamakan para tetamu dengan menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap,” katanya.

Penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ini tersedia untuk 10 laluan antara Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sabah, Sarawak.

Sebanyak 38 penerbangan merekodkan muatan 100 peratus pada minggu akan datang selain 68 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap, AirAsia Malaysia (AK) juga mengendalikan 314 penerbangan mingguan sempena musim perayaan.

Related posts

Leave a Comment