Pas tolak UMNO pilih PN

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Muafakat Nasional (MN) tinggal memori bagi UMNO dan Pas apabila Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memilih Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Abdul Hadi berkata, Pas juga mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

“Mesyuarat juga memuktamadkan  perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN dan senarai calon daripada Negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama,” katanya.

UMNO sebelum ini memberi kata dua kepada Pas sekiranya mahu meneruskan hasrat kerjasama politik dengan parti itu untuk menghadapi PRU-15 tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu menetapkan tiga syarat utama kepada Pas iaitu keluar daripada gabungan Perikatan PN serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah’ (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Related posts

Leave a Comment