WP tolak usul jawatan tidak dipertandingkan

KUALA LUMPUR 14 Jan. –  UMNO Wilayah Persekutuan menolak usul tambahan yang dikemukakan perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 semalam supaya dua jawatan utama tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Zainal Abidin Mohd Rafique, berkata UMNO perlu menyedari sentimen terhadap isu ini boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO.

“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.

“Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, belum terlambat untuk UMNO memberi nafas baharu dan segar kepada partinya.

“Mungkin kita semua termasuk saya sendiri sudah membuat banyak kesilapan sebelum ini tetapi takkanlah kita nak biarkan kesilapan ini berterusan jika kita sedar dan tahu akibatnya?

“Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti.

“UMNO Wilayah mohon menyokong, kecuali usul tambahan, (iaitu) usul nombor lapan yang dibuat secara mengejut semalam, iaitu usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya.

Usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden UMNO semalam, kemudian disokong perwakilan Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Semalam Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menyifatkan usul tambahan itu dikemukakan sebagai satu bentuk usul persefahaman dalam kalangan pemimpin UMNO akar umbi.

Katanya, usul itu jika pun diluluskan perwakilan PAU 20220, tidak bermakna UMNO menyekat mana-mana ahlinya yang mahu mencabar dua jawatan tertinggi itu, memandangkan UMNO juga tidak pernah meminda Perlembagaan partinya.

Related posts

Leave a Comment