Tuding menuding jejas parti langkah ke depan

KUALA LUMPUR 13 Jan. –  Tindakan tuding-menuding mencari kesalahan punca UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu berisiko menjejaskan usaha parti berkenaan untuk melangkah ke depan, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, polemik sedemikian tidak boleh dibiar berterusan walaupun beliau boleh saja menyalahkan pihak lain mengenai punca kekalahan calon-calon Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

“Saya boleh saja gariskan bahawa adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri, UMNO katanya parti korup, sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan, hingga ucapannya dijadikan modal pembangkang menyerang kembali UMNO.

“Boleh juga saya menyebut, ‘poster boy’ perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU15.

Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan,” katanya dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, beliau meminta semua ahli dan pimpinan UMNO menghentikan polemik mengenai punca BN dan UMNO mencatat prestasi buruk pada PRU15 sebaliknya mengakui bahawa parti berusaha sebaik mungkin dalam menghadapi PRU.

Katanya, keutamaan parti yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah untuk bergerak ke hadapan dan mendepani cabaran baharu, susulan perubahan landskap politik di Malaysia ketika ini.

Beliau turut mendedahkan wujud usaha untuk menyingkirkan beliau sebagai Pengerusi BN ketika proses rundingan pembentukan kerajaan berlaku selepas PRU-15.

Malah, beliau berkata, ketika itu wujud juga rundingan pintu belakang yang diatur dengan Perikatan Nasional (PN) dikenali sebagai ‘Langkah St Regis’

“Saya tidak mahu mencanangkan di sini siapa dan apakah gerakan itu. Kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka yang terbabit, tanpa mereka memikirkan mudarat kepada parti,” katanya.

Beliau turut mendedahkan usaha sulit pemimpin UMNO sendiri yang berunding dengan Perikatan Nasional (PN) ketika proses pembentukan kerajaan malah
membangkitkan tindakan 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.

“Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN. Belum pun subuh, pengkhianatan sudah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri.

“Sedangkan, kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta aku janji bahawa kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti,” katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengakui bahawa 10 Ahli Parlimen terbabit sudah kembali kepada parti dan beliau juga memaafkan mereka.

“Kini 10 orang yang menyokong PN sudah bersama kita, sudah kembali sama ada dari UMNO atau BN bersama kita. Tapi hakikatnya, sudah bersama kembali (ibarat) biduk lalu kiambang bertaut, saya sudah maafkan, tetapi sukar untuk saya melupakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment