Zahid nafi pilih calon BN secara sendirian

KUALA LUMPUR 13 Jan. –  Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan yang mengatakan beliau bertindak sendirian dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, beliau menegaskan proses pemilihan calon untuk mewakili parti membabitkan rundingan di peringkat ‘top five’ atau lima kepemimpinan tertinggi, selain Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan perhubungan negeri.

“Daripada 119 calon UMNO, hanya enam yang bertukar di saat akhir, atas beberapa pertimbangan. Bakinya 113 adalah hasil rundingan dengan Pengerusi Perhubungan negeri bersama ‘Top Five’ (lima kepemimpinan tertinggi),” katanya.

Menjelaskan perkara ini dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini, Ahmad Zahid menjelaskan proses pemilihan juga membabitkan Perhubungan UMNO di peringkat negeri.

Ini disusuli rundingan dalaman yang dilakukan baik di peringkat ‘Top Five’, Biro Politik mahupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Semua proses ini memperlihatkan keputusan yang membabitkan soal pilihan raya telah melalui proses rundingan,” katanya.

Beliau pada masa sama mengajukan soalan kepada semua perwakilan sama ada tindakan pemilihan calon yang melalui semua struktur parti itu adalah usaha bagi mengecilkan peluang kemenangan?

“Apakah dengan menampilkan muka-muka baharu, sebagai satu proses pembaharuan dalaman parti juga, satu langkah mengecilkan peluang kemenangan?

“Atau apakah mengurangkan persepsi UMNO adalah parti warlord, juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?” katanya.

Ahmad Zahid juga menarik perhatian bahawa dalam PRU-15 bukan hanya calon muka baharu yang tewas, sebaliknya muka lama dengan nama besar juga tewas.

“Saya sendiri ditentang oleh tokoh PKR di Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan? Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada tanya iman,” katanya.

Berhubung penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid menjelaskan ia juga dibuat secara bersama pimpinan parti dan mereka yang berada dalam kerangka kepemimpinan mengetahui dan bagaimana keputusan ini dicapai.

“Walaupun sudah ada aku janji, memberikan kuasa kepada Ketua Utama Parti, untuk merundingi soal penubuhan kerajaan, kita tetap membuat keputusan bersandarkan semangat musyawarah sesama kita.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi sudah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi.

“Pakatan Harapan (PH) mempunyai jumlah kerusi terbanyak iaitu 82 berbanding 73 yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN). Rakyat memberikan mandat lebih besar kepada PH dan atas semangat demokrasi, kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO juga selaras dengan perakuan yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk menerima titah usulan baginda, supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa yang sama PH juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya PN menolak titah berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment