Rombakan Kabinet formula Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU 11 Jan. – Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya menegaskan rombakan Kabinet kerajaan negeri hari ini adalah formula Kerajaan Perpaduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu mendakwa perubahan itu seperti yang disarankan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, susulan kemelut politik yang melanda negeri ketika ini.

Beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya, berkata, keputusan tidak memasukkan Warisan dan mereka yang sebelum ini terlibat dalam usaha menggulingkan Ketua Menteri, Hajiji Noor juga dibuat atas persetujuan.

“Ya, ini adalah satu formula Kerajaan Perpaduan dengan rakan Kabinet yang baharu, termasuk tiga muka baharu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Ia persetujuan bersama untuk tidak terima mereka (Warisan dan pemimpin cuba jatuhkan Hajiji), jadi mereka kena terima hakikat, bertenang, jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama tumpukan urusan membangunkan Sabah,” katanya.

Shahelmey yang sebelum ini Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata demikian ketika selepas keluar dari Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengenai nasibnya dalam UMNO berikutan membelakangkan keputusan parti dalam usaha menarik balik sokongan kepada Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata, setakat ini, belum menerima sebarang khabar daripada pimpinan parti.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan itu memaklumkan, beliau ada bertemu Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu, namun tiada sebarang perbincangan dibuat dengan Presiden UMNO itu.

“Saya masih ahli UMNO dan tidak mendapat sebarang khabar daripada pimpinan UMNO. Saya ada jumpa presiden (Ahmad Zahid) sewaktu beliau datang ke Sabah baru-baru ini, tapi tak ada apa-apa, cuma angguk-angguk dan salam saja,” katanya.

Shahelmey juga mengesahkan tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang bermula hari ini sehingga Sabtu kerana beliau bukan perwakilan, selain sibuk dengan portfolio baharu dalam kerajaan negeri.

Related posts

Leave a Comment