Berakhirkah kemelut politik Sabah?

SELEPAS mendapat restu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kedudukan Hajiji Noor nampak lebih selesa untuk melakukan ‘pembaharuan’ dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas Barisan Nasional (BN) menarik sokongan.

Tiada apa yang dapat menghalang Hajiji melakukan sesuatu kerana seperti kata Anwar selepas perjumpaan bersama pemimpin parti politik Sabah, bahawa beliau (Anwar) hanya mampu menasihat. Yang lain terserah kepada pimpinan Sabah.

Hasrat Hajiji mahu mewujudkan kestabilan politik walaupun tindakan yang diambil ketika ini bukan satu jaminan suasana benar-benar ‘aman’.

Justeru Hajiji tampil menggunakan kuasa yang ada bagi mengisi ‘kekosongan’ yang ditinggalkan BN. Rombakan perlu dilakukan bagi menyatukan semula dan membentuk barisan Kabinet yang kukuh, yang sehaluan dengan kepemimpinannya.

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya berfungsi sebagai sebuah pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama yang dibentuk melalui semangat saling mempercayai dan menghormati.

“Kerajaan negeri mahu pemimpin yang memiliki iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat,” katanya.

Hajiji percaya dengan satu pasukan yang kukuh, kerajaan negeri dapat memastikan pelaburan dinamik dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

Jika ada yang tidak sudi, apa lagi pilihan yang ada? Jalan mudah singkirkan mereka tanpa mengira kedudukan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Bung Moktar Radin; ADUN Krambunai,  Yakub Khan dan ADUN Sukau,  Jafry Arifin.

Rombakan Kabinet dilakukan hari ini bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan tiga wakil BN (UMNO) yang turut menampilkan wakil Pakatan Harapan (PH) dari PKR dan DAP. Bagaimanapun ia tidak menggambarkan sebuah Kerajaan Perpaduan yang diharapkan oleh UMNO dan Warisan.

Sebagai ketua kerajaan negeri yang mendapat ‘lampu hijau’ Anwar yang juga Pengerusi PH, Hajiji dilihat membalas pengiktirafan itu dengan melantik Pengerusi PH Sabah,  Christina Liew (PKR) dan ADUN Luyang daripada DAP, Phoong Jin Zhe.

Christina yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, portfolio yang sama ketika pentadbiran kerajaan Warisan dari 2018 hingga 2020 manakala Phoong sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.

Mewakili ‘UMNO’ yang tidak memihak kepada Bung Moktar adalah ADUN Tanjung Keramat,  Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III yang baharu selain turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya, jawatan sama dipegang Bung Moktar sebelum ini.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan adalah antara lima ADUN UMNO yang tidak mengikut jejak Bung Moktar dan 12 ADUN UMNO yang lain menarik sokongan kepada Hajiji baru-baru ini.

Seorang lagi yang bersama Shahelmey ialah  James Ratib, yang dinaikkan pangkat daripada pembantu menteri ke portfolio Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang sebelum ini disandang Shahelmey.

Rombakan Kabinet itu turut menyaksikan ADUN Tambunan  Dr Jeffrey Kitingan (STAR) dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Menteri I, tempat yang ditinggalkan Bung Moktar.

Dr Jeffrey yang sebelum ini lebih awal meninggalkan Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan kekal memegang portfolio Menteri Pertanian dan Perikanan.

Hajiji yang sebelum ini turut memegang portfolio Menteri Kewangan melepaskan jawatan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada ADUN Karanaan,  Masidi Manjun yang sebelum ini adalah Menteri Kewangan II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Turut bertukar portfolio dalam rombakan kali ini adalah Timbalan Ketua Menteri II,  Dr Joachim Gunsalam yang juga ADUN Kundasang yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Perindustrian dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

ADUN Membakut,  Mohd Arifin Arif yang sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi manakala dua lagi ADUN kekal dengan portfolio masing-masing iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar,  Jahid Jahim.

Dengan barisan Kabinet baharu ini, sudah tentu Hajiji boleh terus mentadbir negeri dengan baik.

Cuma persoalannya, Hajiji mungkin boleh percaya sokongan barisan Kabinetnya tetapi bagaimana pula tindak balas pihak sebelah sana – UMNO, Warisan, KDM – yang berterusan mempertikaikan statusnya yang dikatakan tidak berparti.

Kata Bung Moktar “Game still on (belum tamat),”

(Foto FB Dr Jeffrey Kitingan)

Related posts

Leave a Comment