Pastikan kemenangan BN di Johor

BATU PAHAT 28 Jun – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor kali ini, sebagai titik permulaan kebangkitan selepas melalui tempoh suram sejurus PRU14 lapan tahun lalu.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan berkenaan juga penting untuk memastikan Johor terus kekal sebagai simpanan tetap parti itu.

“Apa yang penting, kita perlu menangkan calon kita terlebih dahulu…dengan izin Allah, tanpa berasa bangga, sombong. Kita mengingatkan UMNO dan BN akan bangkit secara nyata bermula dari bumi Johor yang bertuah ini.

“Tetapi bila ada PRN di Johor dan selepas ini Negeri Sembilan, jangan tekan-tekan kita. Jangan sekat bila nak masuk FELDA. Kita berjumpalah dalam gelanggang secara `gentleman’ .

Ini tidak apalah sekat Facebook, Tiktok UMNO? Kita lawanlah sampai menang,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran Jentera BN Dun Parit Yaani dan Parit Raja, di sini, hari ini.

Ini tidak apalah sekat Facebook, Tiktok UMNO? Kita lawanlah sampai menang,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN ketika berucap pada Program Pelancaran Jentera BN Dun Parit Yaani dan Parit Raja, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata realiti politik di Johor adalah kestabilan, strategi jelas dan fokus nyata yang menyebabkan pelabur asing serta dalam negara memandang Johor sebagai negeri penting.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan sumbangan bekas menteri besar sebelum ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kita tak nafikan mereka ada sumbangan masing-masing. Tetapi sejak BN memerintah semula dengan Johor dan pentadbirannya di bawah Datuk Onn Hafiz (Ghazi), saya lihat ia luar biasa.

“Ini satu realiti dan Johor tidak ada isu yang dibangkitkan. Tak banyak isu, tak susah sebenarnya. Pada 11 Mei lalu kita meraikan UMNO ke 80 tahun. Ini bermakna UMNO bukan parti jalan, bukan parti anak-beranak. UMNO adalah parti seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ditemui selepas itu, Ahmad Zahid berkata kempen PRN Johor yang memasuki hari kedua berjalan dengan baik setakat ini termasuk tidak ada serangan peribadi serta membangkitkan isu-isu sensitif.

“Kalau masing-masing meneruskan pendekatan seperti ini, Insya Allah tidak ada sebarang masalah untuk pengundi. Selain kita bekerja secara berpolitik, kita mohonlah daripada Allah SWT agar apa yang kita lakukan mencapai kejayaan yang luar biasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment