Bangunkan semula keyakinan orang Melayu

KUALA LUMPUR 11 Jan. – UMNO mesti melupakan nafsu untuk berkuasa dengan kuasa yang besar kerana parti itu ketika ini hanya ada satu pilihan, iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata! UMNO perlu mendapatkan semula keyakinan orang Melayu untuk menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa berkenaan.

“Kerana itu, UMNO menyertai kerajaan dengan telus, mengikut lunas-lunas perlembagaan. Iltizam UMNO ialah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem kerajaan, yang inklusif dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia telah memilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Menteri Pertahanan itu juga mengajak semua ahli UMNO mengembalikan imej parti berkenaan sebagai parti paling bersih, berwibawa dan berkesan dalam mewakili kepentingan Melayu, Islam serta negara.

Katanya, parti itu kini semakin susut dan memerlukan dukungan semua kerana berada pada kedudukan kritikal dalam perjalanan panjangnya.

“Maka, tugas dan amanah kita pada kali ini amat berat. Berat mata memandang, berat lagi bahu kita yang memikul. Mengembalikan UMNO ke kedudukan terbaik, akan mengambil masa.

“Sejujurnya, tiada rumus yang mudah dan tepat, yang boleh diambil dari dalam laci pejabat untuk terus digunakan.Ia mesti difikirkan, dengan fokus dan pendekatan yang terbaik. Lebih-lebih lagi, dinamik politik Malaysia dan global, sangat deras perubahannya,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO perlu menanamkan iltizam untuk membangunkan wibawanya sebagai parti dalam kerajaan yang kompeten, berprestasi dan disegani.

UMNO perlu berperanan dalam kerajaan dengan memperjuangkan dasar yang lebih baik, idea lebih bernas, amalan lebih telus dan pemikiran lebih besar serta pragmatik di samping menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.

Ahli Parlimen Rembau, itu berkata UMNO perlu menjadi parti politik yang sedang belajar menyerap keunggulan intelektual dan kecerdasan dari semua pendukungnya, baik ahli parti mahupun dari orang Melayu dan bukan Melayu yang bersedia untuk menyumbang kepada tanah air.

Katanya , perjuangan politik kurun ke-21 adalah tentang percaturan dasar terbaik, program paling memanfaatkan, kepimpinan paling kompeten dan institusi paling moden dan termaju.

“Gerakan UMNO pasca PRU15 akan berorientasikan data, kajian, ilmu baharu dan pendekatan termaju,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang lebih penting dalam menjadikan idea sebagai modal politik, UMNO harus membenarkan berlakunya perubahan generasi yang sangat diperlukan parti.

“Kita tidak akan menjadikan senioriti atau usia sebagai aset mana-mana pemimpin UMNO. Kita akan membenarkan parti ini untuk benar-benar digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa, generasi yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini.” katanya.

Beliau juga menyatakan Agenda Melayu perlu disemak semula demi kemajuan bangsa dan tanah air.

“Tumpuan saya ialah untuk menjadikan UMNO sebagai suara sebenar kepada orang Melayu dan seluruh warga tanah air ini. Memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment