140 ketua bahagian mahu tiada pertandingan

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Ketika pelbagai spekulasi mengenai pemilihan UMNO yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun ini, seramai 140 ketua UMNO bahagian tampil menyokong agar dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Dr Mohd Shafie Abdullah, berkata ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Semua 140 ketua bahagian ini sebulat suara menyokong dua jawatan utama UMNO tidak perlu dipertandingkan, selain berharap Ahmad Zahid dapat menerima pandangan kami ini,” katanya yang juga Ketua UMNO Wangsa Maju pada sidang media, di sini.

Katanya seramai 126 Ketua UMNO Bahagian hadir malam ini manakala 14 lagi tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (malam ini), tetapi semua sepakat jawatan-jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Pulau Pinang,  Musa Sheikh Fadzir; Pengerusi UMNO Kedah, Jamil Khir Baharom dan Pengerusi UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

UMNO mempunyai 191 bahagian di seluruh negara yang perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat bermula dari cawangan hingga Majlis Kerja Tertinggi (MKT), termasuk sayap sebelum 19 Mei depan iaitu sebelum tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan 19 November lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan pada sidang media pagi ini, berkata PAU2022 tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15.

Katanya lagi, tarikh bagi tujuan itu akan ditentukan beberapa minggu lagi memandangkan UMNO masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan.

Related posts

Leave a Comment