Lima alasan kewajaran UMNO sertai Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 11 Jan. – UMNO memilih untuk menyertai Kerajaan Perpaduan kerana mahu membawa negara keluar daripada kemelut pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

Sambil menggariskan lima alasan penyertaan itu, Mohamad menjelaskan perkara itu adalah misi utama UMNO pada waktu itu dan parti menerima kenyataan bahawa parti sudah kalah.

Katanya, kepemimpinan UMNO berpandangan bahawa penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan adalah jalan terbaik kerana memberikan UMNO peranan yang unik dan strategik.

Beliau menegaskan, perkara asasnya penyertaan itu bukan bermakna UMNO menyertai Pakatan Harapan (PH) atau membelakangkan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mengutamakan negara.

“UMNO hanya menyertai Kerajaan Perpaduan yang diusulkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, tiada isu dalam kerjasama UMNO dengan DAP, PKR atau Parti Amanah Negara,” katanya.

Berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini, beliau berkata,  disebabkan kedudukan negara yang genting pada saat, UMNO memeterai persefahaman dengan PH, GRS dan GPS untuk mentadbir negara ini.

Mohamad menjelaskan, apabila PN sudah tidak mahu bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, maka UMNO berada dalam kedudukan strategik untuk memainkan peranan yang lebih penting pembentukan kerajaan.

Alasan kedua pula, adalah untuk mengembalikan semula negara ke jalan sederhana selepas parti melihat betapa isu perkauman dan agama menjadi modal kempen parti politik tertentu sehingga ke tahap yang ekstrim dan negara perlu dikembalikan ke ‘centrism’.

“Kita tidak boleh membiarkan masa depan negara dicorakkan oleh ‘the rightist’ atau ‘the leftist’,” katanya.

Ketiga, katanya, UMNO sangat menyedari untuk menjadi pembangkang bukanlah perkara yang mudah malahan dengan pengalaman terbatas sebagai pembangkang, UMNO mungkin akan terus lemah jika ia berada di luar kerajaan.

“Dengan kewujudan PN yang berhasrat untuk mengkuburkan UMNO daripada sokongan orang Melayu, kita memerlukan jalan dan pengalaman kerajaan untuk terus memperkukuhkan sokongan untuk parti.

“Malah, ia memberi kita kemudahan untuk terus memenuhi keperluan penyokong kita dan masyarakat Melayu di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, alasan keempat adalah kerana UMNO mendapati sangat sukar bekerjasama dengan parti yang kewujudan dan perjuangannya adalah untuk menghapuskan UMNO buat selama-lamanya.

“Begitu juga pengalaman kita bekerjasama dengan Pas. Mereka tidak pernah setia atau ikhlas.Tanpa segan mereka berselingkuh dengan semua parti, terutama ‘si janda’ UMNO. Lihat saja rekod mereka dengan DAP dan PKR, akhirnya semua membawa haluan masing-masing,” katanya.

Katanya, dengan pengalaman bekerjasama dengan PN secara ‘marriage of convenience’ sejak Langkah Sheraton, UMNO berasakan parti itu memerlukan sesuatu yang lebih lestari dan konkrit.

“Kita juga berasakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita tidak terbelenggu dengan ideologi parti tertentu dalam saat paling kritikal untuk negara.

“Yang penting kepada kita ialah memberi fokus kepada ‘governing’. Keutamaan UMNO ialah kestabilan politik negara dan bukannya ideologi politik rakan kerjasama kita dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment