Empat parti komponen GRS pertahan Hajiji

KOTA KINABALU 7 Jan. –  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertahankan kedudukan Pengerusinya,  Hajiji Noor, sebagai Ketua Menteri walaupun Barisan Nasional (BN) Sabah meliputi, UMNO menarik balik sokongan kepada beliau.

Dalam kenyataan bersama empat pemimpin parti komponen GRS, hari ini, mereka sepakat bahawa pengumuman BN tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa Hajiji .

Ini kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan menerusi sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan berpandukan Perlembagaan Negeri.

“Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah, dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan,” kata kenyataan itu yang turut menegaskan semua ADUN GRS teguh menyokong Hajiji.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS),  Dr Maximus Ongkili; Presiden Sabah Tanah Airku (STAR),  Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP),  Yong Teck Lee; dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Pandikar Amin Mulia.

Seterusnya, keempat-empat presiden parti komponen dalam GRS itu mengesahkan bahawa ADUN Sabah daripada GRS tetap berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Menurut kenyataan bersama itu, GRS adalah sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling ramai dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, serta menyatakan penghargaan terhadap sokongan ADUN lain kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri, meliputi sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN Dilantik.

“Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat serta negeri harus diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu,” menurut kenyataan itu sambil menekankan menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat pada PRN Sabah Ke-16.

Dalam kenyataan bersama itu juga, empat pemimpin parti komponen GRS terbabit mendakwa, tindakan BN menarik balik sokongan terhadap Hajiji adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari lalu.

“Sebarang gerakan membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan mengkhianati mandat rakyat serta harus ditolak,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment