Bung Moktar pula digesa letak jawatan

KOTA KINABALU 7 Jan. –  Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah mendesak Bung Moktar Radin meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berikutan tindakan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor.

Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat,  Shahelmey Yahya;  Jasnih Daya (Pantai Dalit),  James Ratib (Sugut); Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mengecam tindakan Bung Moktar serta menyatakan rasa kesal dan terkilan kerana tindakan itu sekali lagi mengheret Sabah dan rakyatnya ke dalam krisis politik yang disifatkan tidak bertanggungjawab.

“Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga serta sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mengaku terkejut dengan tindakan beberapa pihak tertentu, khususnya Bung Moktar yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Sabah yang sah ketika ini.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Sabah dengan serta-merta. Ini kerana tindakan beliau itu mencemarkan nama baik parti.

“Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan,” kata mereka.

Lima ADUN terbabit berkata, sebagaimana aspirasi rakyat Sabah, mereka juga mahu kestabilan politik dikekalkan dan menolak sebarang cubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan serta keresahan rakyat.

“Bersama-sama kita berdoa semoga kemelut politik ini segera berakhir agar usaha untuk memakmurkan Sabah yang tercinta ini dapat diteruskan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment