Hajiji perlu letak jawatan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU 7 Jan. – Selepas Barisan Nasional (BN), UMNO dan KDM mempersoalkan kedudukan Hajiji Noor, parti Warisan tampil dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah “bersendirian” itu perlu meletak jawatan.

Presiden Warisan,  Mohd Shafie Apdal, berkata Hajiji sewajarnya sudah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Sabah apabila beliau bersama barisan ADUN serta pemimpin keluar daripada Bersatu seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, Ketua Menteri bersendirian tanpa kepastian mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah perlu perlu melepaskan jawatan seperti termaktub dalam Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Beliau berkata, sebarang kenyataan daripada Ketua Menteri atau pengikutnya yang telah meninggalkan Bersatu untuk menenangkan hati rakyat, tidak akan menghentikan spekulasi bahawa Hajiji telah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri.

Mohd Shafie berkata, Perkara 6(3) yang dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, menyatakan Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020.

“Semua pihak khususnya pemimpin negeri ini harus akur dan mematuhi Perlembagaan Negeri Sabah bagi sebarang perkara berhubung pembentukan kerajaan negeri dan Ketua Negeri.

Datuk Seri Hajiji harus menyedari sebarang kenyataan bagi mengambil hati rakyat negeri ini tidak akan menghentikan spekulasi kedudukannya yang tidak boleh dikekalkan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, ketika ini Ketua Menteri Sabah bukan menjadi ahli atau ketua mana-mana parti secara langsung.

“Kenyataan beliau untuk menubuhkan parti baharu semata-mata bagi mengekalkan jawatan bukan sahaja menunjukkan sifat suka melompat parti, malah pengkhianatan kepada mandat yang diberi oleh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas PRN Sabah yang dianggotai BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“GRS hanya didaftarkan sebagai parti yang sah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan tidak dijelaskan sama ada Bersatu Sabah sebagai tulang belakang GRS memutuskan untuk keluar atau kekal.

“Tidak ada sesiapa boleh mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sabah mempunyai kepercayaan majoriti ADUN dan perlu ditegaskan setiap ADUN mempunyai hak untuk memilih mana-mana ahli lain untuk Ketua Menteri Sabah dengan mengesahkan sokongan kepada Tuan Yang Terutama Negeri Sabah pada bila-bila masa.

“Krisis politik yang melanda Sabah ketika ini berpunca daripada tindakan Hajiji sendiri dalam usaha mengekalkan jawatannya selepas PRU15 apabila Bersatu-PN gagal membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mohd Shafie turut bersimpati dengan rakyat Sabah yang terpaksa berdepan pelbagai ketidaktentuan politik ketika ini.

“Kita akan tengok macam mana nanti, demi kestabilan kita akan buat rundingan dengan mana-mana pihak untuk menstabilkan politik Sabah secepat mungkin.

Bagaimanapun, kita akan utamakan perundangan dan baru melihat kepada jumlah sokongan.

“Kalau dari segi perundangan, kita sejak awal dahulu lagi adalah parti yang mempunyai kerusi paling banyak iaitu 32 termasuk dari Pakatan Harapan (PH) dan UPKO,” katanya.

Related posts

Leave a Comment