SEPANG 23 Dis. – Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein menjawab persoalan mengenai hala tuju politiknya dengan menegaskan beliau tetap bersama dengan perjuangan parti itu buat selama-lamanya.
“Saya tetap UMNO, dulu, kini dan selamanya. Saya takkan ke mana. Yang cakap-cakap di luar sana hanyalah usaha untuk memburukkan dan menidakkan saya.
“Perjalanan saya dalam politik sejak dari awal lagi di peringkat cawangan Sungai Mati, bahagian Ledang tidak perbah mudah. Sukar memang sukar. Jalan ke depan ni takkan sebang, “ katanya melalui hantaran video di Facebooknya semalam..
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), itu berkata, pada pilihan raya umum lalu, BN kalah teruk dengan hanya memperoleh 30 kerusi , satu keputusan yang patut menginsafkan dan menyedarkan khususnya warga UMNO dan BN.
“Sesungguhnya kita perlu lakukan penambahbaikan dan apa jua pembetulan yang diperlukan untuk parti kesayangan kita ini. Banyak kerja yang kena buat kalau nak pulihkan semula keyakinan rakyat, kita tidak boleh salah langkah lagi,” katanya.
Justeru Hishammuddin berkata, beliau akan memanfaatkan sebaiknya peluang dan masa yang ada ketika ini untuk melakukan penambahbaikan demi kelangsungan dan masa depan parti.
“Buat ahli-ahli parti akar umbi, nasihat saya ialah untuk bulatkan tekad, rapatkan barisan dan sama-sama kita kihat ke hadapan demi masa depan dan kelangsungan perjuangan kerana kita semua orang perjuangan” katanya.