Kes harian Covid-19 catat penurunan

PUTRAJAYA 23 Dis. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan sedikit penurunan dengan merekodkan 858 kes termasuk satu kes import berbanding 984 yang direkodkan kelmarin.

Menurut portal KKMNOW, jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 5,021,242 iaitu 4,982,744 kes tempatan dan 38,498 kes import.

Sebanyak tiga kematian direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 36,824 orang meninggal dunia termasuk 7,846 kematian yang berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, sebanyak 14,590 kes aktif dilaporkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 13,685 kes atau 93.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 859 pesakit atau 5.9 peratus mendapat rawatan di hospital, di mana 46 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), iaitu 23 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh yang direkodkan semalam turut meningkat dengan pertambahan 1,119 lagi pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,969,828 pesakit sembuh.

Related posts

Leave a Comment