Tidak perlu ugut dengan tindakan guaman

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, mendakwa tindakan guaman oleh Anwar Ibrahim terhadap Muhyiddin Yassin dan Ahmad Amzad Hashim adalah bagi bagi melenyapkan semua kritikan.

Katanya, sebagai Perdana Menteri, Anwar perlu berani dan bersedia menjelaskan persoalan ditimbulkan pembangkang, bukannya mengugut dengan tindakan guaman.

“Kenapa sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar sangat nipis telinga dan tidak boleh terima kritikan. Adakah Anwar mahu menjadi diktator yang tidak boleh dipersoal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Sebelum itu, Anwar mengemukakan notis tuntutan supaya Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad memohon maaf tanpa syarat kerana didakwa memfitnah beliau berhubung penerimaan gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor dalam satu rakaman video.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menuntut Ahmad Amzad meminta maaf kerana mempertikai pengampunan yang diperoleh bagi sabitan kes beliau.

Wan Saiful turut mencabar Anwar mengambil tindakan sama terhadap beberapa pihak lain yang membawa cerita tidak enak terhadap kewibawaannya.

Sebagai contoh tindakan dilakukan Lokman Noor Adam dan agensi berita luar, Agensia Nova seperti didedahkan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat.

Hamzah ketika membahaskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri memetik laporan didakwa dikeluarkan sebuah portal berita di Itali yang mengaitkan Anwar dengan kegiatan homoseksual.

Setiausaha Agung Bersatu itu juga mendesak supaya Anwar mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berkenaan.

“Dengan berbuat demikian barulah Anwar boleh dilihat serius mempertahankan nama baiknya dan institusi Perdana Menteri dan bukan berterusan mempergunakan sistem perundangan secara selektif untuk bermain politik atau mengugut pengkritik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment