Timbalan Menteri tidak sempat undi Speaker

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Hanya 147, bukan 148 yang mengundi menyokong Johari Abdul ketika proses pemilihan Speaker Dewan Rakyat di Parlimen hari ini berikutan seorang wakil di pihak kerajaan tidak sempat berbuat demikian.

Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib tidak sempat mengundi ketika proses pemilihan Speaker Dewan Rakyat di Parlimen susulan mengalami migrain teruk, pada awal pagi tadi.

Johari dipilih sebagai Speaker baharu selepas mendapat 147 undi menerusi undian bersurat, berbanding calon dinamakan pembangkang,  Radzi Sheikh Ahmad yang memperoleh 74 undi, menjadikan keseluruhan Ahli Parlimen mengundi sebanyak 221.

Terdapat 222 anggota Parlimen di mana 148 memihak kepada Kerajaan Perpaduan dan 74 di pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof ketika mengesahkan demikian berkata, Timbalan Menteri Ekonomi itu terpaksa mengambil ubat bagi meredakan kesakitan dialami.

“Dalam perjalanan ke Parlimen, beliau terperangkap dalam kesesakan trafik dan sampai di Parlimen, namun tidak sempat untuk mengundi (calon) Speaker,” katanya.

Hanifah merupakan Timbalan Menteri Ekonomi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain anak perempuan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud.

Related posts

Leave a Comment