Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri,  Najib Razak.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu berkata, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengumuman itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan mesyuarat tergempar selama tiga jam di ibu pejabat parti itu hari ini, dipercayai berkaitan pengampunan bersyarat Najib.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Saya mengemuka cadangan ini kepada CEC dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Ketika ini, DAP mempunyai 11 wakil dalam Kabinet membabitkan lima menteri termasuk Loke, serta tujuh timbalan menteri.

Ditanya mengenai perancangan di bawah Kementerian Pengangkutan susulan peletakan jawatannya, Loke berkata kementerian itu akan terus berfungsi seperti biasa.

“‘No, minister come and go’ (Tidak, menteri datang dan pergi). Kementerian juga akan berfungsi seperti biasa.

“Dan sudah tentu, saya memerlukan sedikit masa sebab ada ‘some outstanding work’ (ada kerja yang belum siap) dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri.

“Namun begitu, tidak begitu lama. Sudah tentu, perancangan yang sudah dibuat dan projek-projek yang sudah dilaksanakan akan diteruskan. Sebab kementerian tidak berhenti berfungsi apabila menteri letak jawatan,” katanya.

Semalam, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib, 73, mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi perkenan terhadap pengampunan bersyarat berkenaan.

Related posts

Leave a Comment