Bersatu harap RoS buat keputusan segera

PETALING JAYA 19 Sept. – Bersatu berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat membuat keputusan segera berhubung aduan dikemukakan parti itu, bulan lalu, kata Presidennya, TanMuhyiddin Yassin.

Beliau berkata pihaknya mengemukakan lapan perkara utama yang didakwa dilanggar dan tidak dihormati oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut lapan perkara itu, sebaliknya menegaskan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Kita membuat aduan dan daripada pertemuan itu, kita dapati RoS mengambil berat perkara berkenaan.

Kita serahkan kepada kebijaksanaan RoS dan diharapkan keputusan dapat dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya pada Sambutan Hari Ulang Tahun Bersatu ke-10, hari ini.

RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dibabitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, keahlian Bersatu dalam PN gugur secara automatik selepas Muhyiddin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Sementara itu, Muhyiddin mengesahkan Bersatu tidak akan bergerak solo dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya dalam sebuah gabungan politik.

Beliau berkata apa pun langkah diambil, ia mestilah berlandaskan prinsip perjuangan parti dan kepentingan parti.

“Hampir semua yang memberikan pandangan kepada saya mengatakan bahawa Bersatu tidak boleh bergerak solo. Ya, saya bersetuju dengan pandangan ini.

“Kita mesti bergerak dalam sebuah gabungan politik,” katanya .

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dalam menentukan rakan gabungan, ia mestilah rakan yang menghormati perjuangan dan menghargai sumbangan Bersatu.

“Paling penting rakan yang selari prinsip dan cita-cita perjuangannya dengan parti kita.

Prinsip penting Bersatu ialah untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bebas daripada amalan kleptokrasi, sebuah negara progresif, demokratik dan menghormati hak-hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata prinsip penting juga adalah membentuk sebuah negara yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kesucian Islam serta hak-hak yang sah untuk semua kaum.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment