“Wajah baharu” di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 19 Dis. –  Persidangan hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 melakar sejarah apabila kedudukan ahli Dewan Rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini sebaris dalam satu blok.

Selain PH dan BN, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut dianggotai tiga lagi gabungan lain iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Jika dulu mereka bermusuh dengan pelbagai serangan dan kritikan sesama sendiri seperti penyamun, perompak, “No PKR, No DAP”, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan banyak perubahan dalam hubungan sesama mereka.

Suasana politik baharu di Dewan Rakyat turut menarik perhatian anggota Parlimen memuat naik gambar di media sosial.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, turut berkongsi hantaran gambarnya duduk bersebelahan dengan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Ismail Sabri berdasarkan kedudukan itu duduk di antara Guan Eng (DAP) dan juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (PKR) Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut berada di barisan sama Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Menerusi satu lagi gambar yang dikongsikan Guan Eng, barisan belakang tempat duduknya pula menempatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, manakala sebelahnya pula Ahli Parlimen Sembrong,  Hishammuddin Hussein.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pula memuat naik gambar menunjukkan beliau berada di tempat duduk pertama di blok pembangkang, di sebelahnya, Muhyiddin Yassin (PN Pagoh) yang juga Presiden Bersatu dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang (Pas Marang).

Hishammuddin Hussein (BN Sembrong) pula ‘berjiran’ dengan Wee Ka Siong (BN Ayer Hitam) dan Syed Saddiq Abdul Rahman (MUDA Muar) serta sebaris dengan pemimpin DAP iaitu Gobind Singh Deo dan Teresa Kok.

Related posts

Leave a Comment