SEPANG 19 Sept. – Pelaksanaan kuasa pengampunan tidak boleh digambarkan sebagai tindakan ‘mengatasi undang-undang’ kerana ia diperuntukkan Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata bagi kesalahan dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
“Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
“Jadi prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan. Tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), menegaskan tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan sesiapa saja disabitkan dengan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.
Majlis Presiden dalam kenyataan menegaskan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menter Anwar Ibrahim, selain nasihat diberikan Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan kepada Lembaga Pengampunan.
Tambah kenyataan itu lagi, prinsip kesamarataan di sisi undang-undang kekal sebagai asas penting dan perlu ditegakkan dalam perkara yang melibatkan sabitan jenayah dan hukuman.
Azalina berkata, keputusan kehakiman dan proses pengampunan adalah perkara berbeza dengan mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman.
“Perkara 42 pula menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman, justeru kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang.
“Selain itu, setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa diberikan Perlembagaan. Peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi
“Kerajaan sebelum ini sudah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya, sebagai Ketua Penerangan UMNO, beliau berpendirian keputusan mahkamah, Perlembagaan dan proses diperuntukkan Perlembagaan perlulah dihormati.
“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik.
“Tiada siapa mengatasi undang-undang dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan,” katanya.
