Tiada mangsa baharu ditemukan

BATANG KALI 18 Dis. – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa tanah runtuh tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali – Gohtong yang masuk hari ketiga hari ini gagal menemui sebarang mangsa baharu.

Setakat pukul 6.30 petang ini, lima pasukan yang menjalankan kerja pencarian di lapangan gagal menemui sebarang mangsa sehingga operasi SAR dihentikan pada pukul 4.30 petang akibat hujan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata pencarian menggunakan lapan jentera jengkaut serta Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak berhasil menemukan mangsa.

Operasi pencarian diketuai JBPM kini diteruskan dan setakat ini, masih gagal mengesan mangsa.

Mengenai 24 mangsa yang meninggal dunia, waris 21 mangsa sudah tampil membuat pengecaman dan tuntutan mayat.

“Satu lagi mayat yang kini dalam proses pengecaman dan pengesahan cap jari,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Sementara itu, pihak polis sedang membuat semakan pemilik tujuh kenderaan yang terbabit dalam runtuhan bagi mengenal pasti pemiliknya.

“Semakan sedang dijalankan dan cara itu juga, mungkin kita akan dapat kenal pasti jika ada di antara pemilik kenderaan itu adalah mangsa yang belum ditemui,” katanya.

Dalam tragedi pukul 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang.

(FOTO FB POLIS HULU SELANGOR)

Related posts

Leave a Comment