Sambutan Hari Kebangsaan Qatar

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istana Lusail di Doha, bagi menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan Qatar, semalam.

Keberangkatan Seri Paduka ke majlis itu diiringi Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, serta Tengku Arif Temenggung Tengku Fahad Mua’adzam Shah dan atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.

Menurut kenyataan Istana Negara, turut  mengiring baginda ialah Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di Istana Lusail pada 3.30 petang waktu tempatan disambut sendiri oleh Sheikh Tamim dan beberapa kerabat Diraja Qatar.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan menyaksikan persembahan tarian pedang tradisi Qatar yang dipanggil ‘Ardha’ bersama-sama 5,000 tetamu jemputan lain, selain menyantuni dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Antara tetamu yang turut hadir ke majlis itu ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino.

Hari Kebangsaan Qatar disambut setiap 18 Disember.

Seri Paduka kini berada di Doha atas persilaaan peribadi Sheikh Tamim sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Seri Paduka dijadual berangkat pulang dan tiba di tanah air esok.–

 

 

Related posts

Leave a Comment