Argentina juara kali ketiga, Perancis kecewa

DOHA: Argentina akhirnya menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang Piala Dunia buat kali ketiga selepas menewaskan juara bertahan, Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi final terikat dengan keputusan 3-3.

Kali terakhir skuad La Albiceleste memenangi Piala Dunia adalah pada 1986 dan kali pertama pada 1978.

Kemenangan di Stadium Lusail juga amat bermakna buat kapten Argentina, Lionel Messi apabila dia akhirnya dapat menjulang Piala Dunia buat kali pertama pada penampilan kali kelima dan terakhir di kejohanan itu.

Messi, 35, sudah mengumpul tujuh anugerah Ballon d’Or selaku pemain terbaik dunia, namun berdepan detik pahit apabila gagal menjulang Piala Dunia pada 2014 susulan kekalahan di tangan Jerman dalam perlawanan akhir.

Argentina bermula garang dengan mengasak kubu Perancis sejak awal permainan dan usaha itu membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-23 susulan kekasaran Ousmane Dembele ke atas Angel Di Maria.

Messi menyempurnakan sepakan itu yang gagal dibaca penjaga gol, Hugo Lloris sekaligus meletakkan skuad La Albiceleste di depan dan 12 minit kemudian, Di Maria mengukuhkan kedudukan Argentina apabila menyudahkan umpanan Alexis Mac Allister pada minit ke-36.

Perancis terpaksa menunggu minit ke-80 untuk merapatkan kedudukan selepas Mbappe menyudahkan sepakan penalti susulan Nicolas Otamendi menjatuhkan Randal Kolo Muani.

Jaringan itu mendorong kebangkitan Perancis apabila Mbappe berjaya meledak gol penyamaan hanya seminit kemudian, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Messi kembali meletakkan Argentina di depan pada minit ke-109 dalam masa tambahan, sebelum Mbappe sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-118.

Jaringan itu bukan sahaja melengkapkan hatrik Mbappe, malah turut meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak dengan lapan gol selain mengheret pemenang ditentukan dengan penentuan penalti.

Bagaimanapun, malang menimpa Perancis apabila kegagalan Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni menyempurnakan sepakan penalti menyaksikan Perancis terlepas peluang menjulang trofi Piala Dunia 2022.

(Foto FIFA)

Related posts

Leave a Comment