Ronald Kiandee mahu bina semula Bersatu

KOTA KINABALU 10 Dis. – Naib Presiden Bersatu,  Dr. Ronald Kiandee menegaskan beliau masih kekal dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan akan membina semula parti itu di Sabah.

Ahli Parlimen Beluran, itu berkata, tindakan kepemimpinan dan Ketua Pimpinan Bersatu, Hajiji Noor itu yang mengisytiharkan keluar Bersatu tidak ‘melumpuhkan’ parti tersebut di Sabah.

Sebaliknya kata beliau Bersatu masih mampu mengekalkan sokongan akar umbi kerana tindakan pimpinan tidak mendapat restu daripada ahli manakala ada beberapa ketua bahagian berbelah bahagi mengenai keputusan itu.

“Mereka (pimpinan) boleh menyatakan sebab mengenai keputusan (keluar parti) itu tetapi ahli parti mempunyai hak untuk membuat keputusan mereka sendiri,” katanya yang setakat ini menjadi wakil tunggal Bersatu di Sabah

Hari ini Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berserta pemimpin Bersatu Sabah sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti itu tetapi terus kekal di bawah GRS.

GRS, yang sebelum ini terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Sabah.

Ronald mendakwa terdapat perjumpaan pada Jumaat (9 Disember) malam apabila keputusan (meninggalkan parti) dibuat dan beliau tidak dimaklum atau dijemput.

Untuk rekod, kemelut Bersatu Sabah dengan Ronald tercetus apabila beliau tidak dicalonkan sebagai calon GRS pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Beluran susulan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN).

Ekoran itu, kerusi Parlimen Beluran diberikan kepada calon BN Benedict Asmat hingga memaksa Ronald bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Ronald yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu,bagaimanapun berjaya menenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 1,594 undi.

Related posts

Leave a Comment